Untuk menghadapi cabaran globalisasi, tidak dapat tidak, masyarakat kita khusunya masyarakat luar bandar perlu dibekalkan dengan pengetahuan dan kemahiran ICT di semua lapisan, daripada kanak-kanak dis ekolah rendah hinggalah peringkat university, daripada seorang buruh kasar hinggalah ke Ketua Eksekutif, suri rumahtangga, petani, nelayan, penoreh getah perlu memahami dan menguasai bidang ICT, berkebolehan berkomunikasi melalui teknologi elektronik dan computer. Kita mesti memulakan dari sekarang. Dengan penubuhan Medan Infodesa ini, besar harapan saya agar masyarakat setempat dapat mengambil faedah dan manfaat daripadanya. Kita tidak boleh menunggu apabila mampu dan ada komputer di rumah, baru kita sanggup belajar dan melaburkan wang untuk mengikuti kursus-kursus berkaitan komputer. Lihat secara mudah, apakah kita perlu menunggu sehingga tiada stok beras tempatan barulah kita hendak menanam atau melipatkaligandakan penanaman padi? Bioteknologi berkembang pesat dari sehari ke sehari dan banyak negara maju hatta negara yang setaraf dengan Malaysia seperti Thailand dan Indonesia yang telah mendapat faedah daripadanya. Apatah lagi Singapura yang berada di kedudukan teratas senarai Negara ASEAN yang mempunyai kemudahan dan capaian ICT yang berkualiti. Adakah kita hanya bergantung kepada cara tanaman tradisional namun berharap untuk mendapat pulangan atau hasil yang bukan setakat cukup untuk dimakan sendiri tetapi berlebihan untuk dipasarkan? Penguasaan ICT yang diperolehi hari ini akan menguntungkan semua pihak di hari kemudian apabila masyarakat ‘dipaksa’ atau ‘terpaksa’ bekerja atau menggunakan komputer khususnya Internet untuk melaksanakan aktiviti harian. Sebagai contoh pembayaran bil-bil, transaksi bank, pembelian tiket kapal terbang, pembelian barang-barang hatta tempahan makanan dan sebagainya. Perkataan ‘dipaksa’ atau ‘terpaksa’ ini mungkin akan jadi sebagai satu aspek pengetahuan dan kemahiran asas yang perlu ada pada masyarakat pada zaman akan datang. Oleh itu, kementerian menyeru kepada semua agar jadilah masyarakat yang bijak, sediakan satu ‘lesen komputer’ untuk anak-anak, keluarga dan yang paling penting diri sendiri. Jadikanlah Medan Infodesa sebagai satu pusat budaya yang dapat mempertembungkan pelbagai budaya menjadi satu budaya iaitu “Budaya ICT”. Akhir kata, selamat maju jaya kepada semua yang terbabit dalam Program Infodesa terutama kepada penduduk kampung yang telah berjaya membuktikan jalinan asas persefahaman, kerjasama dan permuafakatan memberi impak yang besar ke atas kejayaan sesuatu pelan tindakan pembangunan kampung yang telah dibentuk dan dipraktikkan bersama. Adalah menjadi harapan kementerian bahawa apa yang berlaku pada hari ini akan menjadi batu loncatan untuk kejayaan pada masa-masa akan datang terutama dalam pengurusan sumber serta infrastruktur sedia ada untuk mendayaupayakan masyarakat sekitar dalma usaha untuk melahirkan generasi pelapis yang berdayasaing dan mempunyai jati diri yang kukuh walaupun diselubungi kemudahan ICT yang tidak terjangkau keupayaannya. Sedutan teks ucapan perasmian Medan Infodesa |