|
Proses pembangunan negara telah mengalami beberapa perubahan daripada pembangunan pertanian pada mulanya diikuti dengan pembangunan perindustrian dan sekarang dengan teknologi maklumat. Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) adalah satu bidang yang penting yang harus dikuasai dan diharungi agar kita tidak ketinggalan terutama dalam mencapai Wawasan 2020 yang salah satu daripadanya iaitu cabaran keenam untuk mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan. Cabaran ini juga berkaitrapat dengan cabaran kesembilan iaitu untuk mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental. Ini selari dengan perkembangan ICT terkini yang semuanya dipengaruhi oleh konsep K-iaitu Knowledge yang memberi fokus baru kepada maklumat, teknologi dan pembelajaran di dalam bidang-bidang tertentu seperti bidang ekonomi :K-Economy, bidang pembangunan modal insan :K-Workers dan dalam bidang pengurusan :K-Management.
|