Bahasa Melayu | English | Lain Khamis, 23/02/2012 biru merah hijau set semula fon menurun fon menaik

Mesej Pihak Pengurusan

 

Pelaksanaan Program Infodesa merupakan program jangka panjang yang direkabentuk sejajar dengan matlamat rangkakerja nasional “Bridging the Digital Divide” bertujuan untuk merapatkan jurang digital di antara rakyat yang kaya maklumat (information-rich) dan kurang maklumat (information-poor).  Ia juga selari dengan matlamat kerajaan di dalam Intisari Bajet 2011 baru-baru ini yang ingin  melonjak ekonomi negara ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi yang sudah semestinya berkait  langsung dengan aplikasi ICT dalam urusan seharian.

Pembangunan Pusat Sehenti ICT yang dikenali sebagai MID di harap dapat meningkatkan kemahiran ICT yang asas di kalangan penduduk luar bandar dengan harapan meningkatkan kualiti hidup mereka dengan mengintegrasikan penggunaan maklumat dan perkhidmatan yang berteraskan ICT.

Semasa  negara  sedang bergerak ke arah  pembangunan ICT,  kita  sentiasa  sedar  akan  perlunya  untuk  mengurangkan  jurang  digital  di antara  lokasi  dan masyarakat.  Ini  adalah  untuk  memastikan supaya  mereka  yang  berada  di kawasan  luar bandar dan terpencil tidak akan  ketinggalan  dalam   proses  peralihan  ini.  Kerajaan  telah  melipat-gandakan  usaha  untuk  menyediakan  kemudahan   ICT dan capaian   internet  untuk  kumpulan  ketinggalan  termasuk  menubuhkan  lebih banyak pusat-pusat ICT  di seluruh negara.

Masyarakat hari ini mahukan semua perkhidmatan diperolehi secara online, melalui jangkauan “internet”. Mereka hendakkan semuanya dapat dilayari melalui komputer peribadi malah melalui telefon bimbit. Sedikit masa lagi mereka tidak lagi mahu ke pejabat-pejabat atau kaunter-kaunter perkhidmatan untuk mendapatkan perkhidmatan kerana menganggap semua ini adalah menyusahkan. Sekali lagi kita harus sensitif dengan trend ini secara serius.

Sehubungan dengan itu, saya menyeru kepada semua yang terlibat dalam program Infodesa ini untuk memberi komitmen dan kerjasama yang tinggi dalam menjayakan misi dan visi kementerian dalam merapatkan jurang digital.

Dalam hal ini, pihak Pengurusan MID harus efisien dalam mentadbir urus MID dengan baik, membangun modal insan luar bandar  melalui latihan ICT yang komprehensif yang seterusnya dapat melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran, menawarkan perkhidmatan yang sentiasa memenuhi keperluan semasa masyarakat hari ini selain menyokong aktiviti atau program kemasyarakatan yang lain seperti program motivasi, tuisyen dan lain-lain lagi yang boleh dikendalikan di MID itu sendiri.

Aspek dayasaing dan kebolehupayaan untuk berdikari amat digalakkan dalam usaha untuk menjadikan MID sebagai pusat sehenti masyarakat yang tidak bergantung sepenuhya kepada kerajaan. Usaha kearah pengkomersialan MID perlu dirancang dan dimulakan dari sekarang dengan mengambil contoh kejayaan koperasi-koperasi kecil yang berjaya dikendalikan oleh masyarakat setempat yang seterusnya memberi pulangan setimpal kepada masyarakat tersebut.

Aspek pembangunan modal insan juga perlu dititikberatkan dengan penambahbaikan modul latihan sedia ada serta pembangunan modul latihan baru yang dapat memenuhi keperluan masyarakat khususnya selain memenuhi pasaran kerja amnya. Penyelidikan dan kajian juga perlu diaktifkan dalam usaha untuk menilai keberkesanan latihan yang dilaksanakan selama ini.

Penggunaan ICT sebagai enabler dalam meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan juga perlu  terus dipertingkatkan lagi. Kandungan laman web perlu ditambahbaik dan dikemaskini dari masa ke semasa agar dapat menjadi agen penyampai yang berkesan di peringkat kementerian selain menyediakan ruang dan platform untuk masyarakat sekitar berkongsi maklumat. Aspek ekonomi juga perlu diberi perhatian serius dalam usaha untuk melahirkan masyarakat desa yang berpendapatan tinggi. Melalui  ruangan Produk/Promosi Semasa serta Sumber Maklumat Desa, diharap dapat memberi peluang kepada masyarakat luar bandar untuk mengetengahkan produk IKS seterusnya mencipta peluang perniagaan yang berdayamaju.

Saya yakin, dengan adanya jalinan kerjasama yang bersepadu antara semua pihak yang terlibat, InsyaAllah akan dapat menjadikan Program Infodesa ini sebagai program yang berimpak tinggi suatu masa nanti.

Sekian, selamat maju jaya.

En. Mohd Rasdi Ag. Lah
Setiausaha Bahagian Pengupayaan Komuniti Dan Infodesa